Dari kecil kita telah diajar untuk minum air kosong. Bila telah menginjak dewasa, mulalah kenal air putih dan sky juice. Tapi walaupun namanya berbeza, tapi ia tetap AIR KOSONG dengan 0 kalori !
Berpandukan saranan doktor, setiap orang perlu minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari ! Tapi.. pernah tak kita terfikir apa akan jadi sekiranya kita terlebih minum air kosong?
Tubuh badan setiap hidupan di muka bumi ini memerlukan air untuk terus hidup dan begitu juga makhluk yang bernama manusia. Setiap sel, tisu dan organ di dalam tubuh badan kita semua memerlukan air untuk berfungsi, ini contohnya:
- Memastikan suhu badan kekal normal
- Menyingkirkan bahan buangan melalui peluh, kencing dan najis
- Melincirkan sendi dan tulang
- Melindungi tisu yang sensitif
Sekiranya korang kekurangan air, akan berlaku dehidrasi iaitu kondisi di mana tubuh badan korang tidak mampu berfungsi secara normal.
Menurut kajian yang dijalankan oleh The U.S. National Academies of Sciences, Engineering, and Medicine, jumlah pengambilan air yang sewajarnya adalah seperti berikut:
- Sekitar 15.5 cawan (3.7 liter) air untuk lelaki
- Sekitar 11.5 cawan (2.7 liter) air untuk wanita
Apa yang korang perlu ingat adalah, rekomendasi ini bukanlah hanya air kosong kerana jika kalian minum air kosong dengan jumlah yang disarankan berserta minuman lain, sudah tentu amaunnya akan jadi lebih, justeru ia juga tidak disarankan.
Ketahuilah bahawa air-air ini juga boleh datang daripada air lain selain air kosong bahkan juga makanan. Sebenarnya, 20% daripada pengambilan air datangnya daripada makanan dan 80% lagi daripada minuman. Jadi, adakah 8 gelas sehari ini adalah jumlah yang ideal? Ya, ia merupakan satu jumlah yang sangat ideal dan wajar diikuti oleh kita semua!
Pun begitu, ia juga adalah sangat bergantung kepada keperluan seseorang itu dan sila rujuk doktor jika kurang pasti tentangnya.
Tentu sahaja kesannya adalah kita akan mengalami dehidrasi – kondisi tubuh badan tidak mampu berfungsi sepenuhnya jika kurang air. Ia akan mengakibatkan tubuh badan kita terasa lemah, lesu, letih dan tidak bermaya serta akan mengakibatkan beberapa kesan sampingan seperti berikut:
- Mulut kering
- Tekak dahaga
- Kulit kering
- Pening kepala
- Otot kejang
- Kurang kerap membuang air kecil
- Air kencing menjadi keruh
- Mengantuk
- Sembelit
- Air mata sedikit apabila menangis
- Sekiranya ia terjadi kepada korang, rawatannya mudah sahaja iaitu sila banyak minum air kosong atau minuman lain terutamanya yang membekalkan elektrolit dan garam.
Untuk mengelakkan ia berlaku kepada korang, maka adalah wajar untuk kalian cuba amalkan banyak minum air kosong iaitu 8 gelas sehari sesuai dengan saranan pakar. Tapi, bagaimana pula jika terlalu banyak minum air?
Sekiranya kalian terlalu banyak minum air kosong atau sebarang jenis minuman, korang mungkin akan mengalami fasa terlebih hidrasi.
Keadaan yang lebih dikenali sebagai overhydration ini mungkin akan menyebabkan korang mengalami keracunan air kerana amaun elektrolit serta garam yang keluar terlalu banyak. Ini seterusnya akan membawa kepada satu keadaan yang dikenali sebagai hyponatremia di mana elektrolit dan garam dalam tubuh badan menjadi sangat sedikit. Akibatnya, ia mungkin boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan kadar segera! Kenapa?
Buat korang yang terfikir dan tertanya mengapa kondisi ini adalah berbahaya, ia ada kaitan dengan fungsi organ buah pinggang korang. Apabila kandungan air dalam tubuh badan terlalu banyak, fungsi buah pinggang mungkin akan terganggu dan air tidak mampu dibuang sepenuhnya. Jika air tidak mampu dibuang sepenuhnya, maka kandungan elektrolit dan garam pula yang akan terkeluar daripada tubuh badan.
Antara simptom yang boleh berlaku sekiranya kalian terlebih banyak minum air adalah seperti berikut:
- Mual-mual
- Muntah-muntah
- Pening kepala
- Lemah otot
- Sawan
- Koma
- Kematian
Jadi, sila berhati-hati dengan pengambilan air korang agar tidak terlalu kurang atau terlalu lebih ya?
Kesimpulannya, kita harus banyak minum air kosong namun janganlah terlalu berlebihan kerana ada kesan sampingan yang menanti. Ikutlah panduan yang telah disyorkan oleh pakar iaitu sekitar 8 gelas sehari! Selain itu, korang juga perlu ingat bahawa 8 gelas yang dimaksudkan ini perlu terdiri daripada air kosong sahaja dan bukannya air lain.
Ya, biasakan diri untuk minum air kosong bukanlah hal yang mudah kerana di antara pilihan minuman manis, teh atau kopi, air kosong sering kali menjadi pilihan terakhir. Minuman manis dilihat lebih menarik berbanding air putih ini, sedangkan ia merupakan minuman terbaik untuk memenuhi keperluan cecair tubuh. Oleh itu, minumlah air kosong secara berhemah dan cuba elakkan minuman lain terutamanya yang boleh membawa lebih mudarat berbanding manfaat.
till then
No comments:
Post a Comment
Thanks for your support