Penat Kejar KPI Hidup? Jom Kenali Konsep Slow Living

Sedar tak sedar, sedari kita melangkah masuk ke alam dewasa ni, hidup kita macam dah diatur dengan satu senarai KPI yang panjang gila. Umur 25 kena ada kerjaya tetap, umur 27 kena kahwin, umur 30 kena ada rumah sendiri, kereta besar, dan kalau boleh pangkat pun kena gah dekat tempat kerja. Belum masuk lagi bab KPI harian yang menuntut kita untuk sentiasa produktif 24 jam tanpa henti.

Kalau kita tak dapat capai salah satu daripada benda tu, kita mula rasa macam diri kita ni gagal total.

Kita jadi penat sangat sebab asyik nak kena berlari dan bersaing dengan "pencapaian" orang lain yang kita nampak dekat media sosial. Hari-hari otak kita ligat berputar fikir apa lagi benda yang belum cukup, apa lagi benda yang kena kejar, sampaikan kita lupa macam mana rasanya untuk duduk diam dan bernafas dengan tenang. Kita dah jadi hamba kepada masa depan yang belum pasti.

Kalau korang tengah rasa sesak dada dan penat mental yang teramat sangat dengan segala tuntutan hidup ni, apa kata kita rehat sekejap. Hari ni, aku nak ajak korang kenali satu konsep yang dinamakan slow living. Satu gaya hidup yang mungkin boleh jadi penawar untuk jiwa-jiwa kita yang tengah sarat ni.

Apa Benda Sebenarnya KPI Hidup Dan Kenapa Ia Menyiksa Kita

Perkataan KPI ataupun Key Performance Indicator ni selalunya kita dengar dekat pejabat jek, kan? Tapi zaman sekarang, kita dah bawa masuk terma ni dalam kehidupan peribadi. Kita letak penanda aras yang sangat tinggi untuk diri sendiri semata-mata nak nampak "berjaya" di mata orang sekeliling.

Masalahnya, KPI hidup ni tak ada garis penamat. Bila korang dah dapat beli rumah pertama, otak korang akan paksa pula fikir bila nak beli rumah kedua. Bila dah dapat naik pangkat, korang stres pula tengok kawan lain dah tukar kereta baru. Kita jadi sentiasa dahaga dan tak pernah rasa cukup dengan apa yang ada di tangan sekarang.

Contoh Senario Hujung minggu sepatutnya jadi masa untuk korang rehatkan badan lepas lima hari bertarung kat pejabat. Tapi bila korang buka jek telefon, korang tengok hantaran kawan korang tengah sibuk pergi kelas usahawan atau tengah buat side hustle buat duit masyuk. Serta-merta korang rasa bersalah sbb korang cuma baring atas katil lipat kain baju. Rasa bersalah tu muncul sbb korang rasa diri korang tak memenuhi KPI untuk jadi seorang yang sentiasa produktif.

Apa tu Slow Living?

Bila sebut jek perkataan slow living atau hidup perlahan, mesti ada yang ingat konsep ni cuma layak untuk orang yang dah pencen, orang kaya yang duit tak habis tujuh keturunan, atau orang yang duduk kat kampung jek. Itu silap besar, korang.

Slow living ni sebenarnya adalah satu bentuk mindset. Ia adalah tentang bagaimana kita memilih untuk meletakkan sempadan yang jelas terhadap perkara yang betul-betul mendatangkan bahagia pada diri kita, bukannya pada pandangan orang lain. Ia mengajar kita untuk buat satu-satu benda dengan penuh tumpuan tanpa perlu rasa kalut atau bersalah.

4 Steps Untuk Mula Amalkan Slow Living Tanpa Perlu Berhenti Kerja

Kita tak perlu pun nak resign kerja atau pindah duduk dalam hutan untuk rasa tenang. Korang yang duduk tengah bandar metropolitan pun boleh amalkan langkah ringkas ni untuk kurangkan stres kejar KPI hidup.

1. Amalkan Sikap 'Satu Masa, Satu Kerja' (No More Multitasking)

Kita selalu rasa bangga kalau boleh balas e-mel kerja sambil sebelah tangan lagi tengah suap anak makan, dan mata pula tengah tengok berita kat televisyen. Kita rasa kita dah jimat banyak masa. Tapi sebenarnya, tindakan ni cuma akan buat otak kita jadi cepat 'burnout' sbb dia terpaksa bekerja dua kali ganda untuk bertukar-tukar fokus secara drastik.

Cuba belajar untuk buat satu benda jek pada satu-satu masa. Kalau waktu tu korang tengah makan tengah hari, letakkan telefon jauh-jauh. Nikmati rasa nasi, rasa lauk, dan kunyah dengan perlahan. Bila korang buat benda ni, korang tengah latih minda korang untuk hadir sepenuhnya pada waktu sekarang, bukannya melayang fikir pasal masalah esok hari.

2. Tapis Dan Kecilkan Notifikasi Dunia Digital Korang

Telefon bimbit kita sekarang ni ibarat sebuah mesin yang sentiasa menjerit mintak perhatian. Setiap minit ada jek bunyi "ting!" masuk mesej kumpulan WhatsApp kerja, notifikasi emel, atau update dari akaun gosip. Bunyi-bunyi ni secara psikologinya akan buat badan kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk "berperang", sbb tu kita mudah rasa penat walaupun cuma duduk atas kerusi jek.

Ambil masa 5 minit hari ni untuk masuk ke bahagian settings telefon korang. Matikan notifikasi untuk aplikasi yang tak penting. Biarkan notifikasi untuk panggilan kecemasan daripada keluarga jek yang aktif. Bila suasana sekeliling korang dah kurang dengan bunyi bising digital ni, korang akan perasan yang jiwa korang akan mula rasa lebih lapang dan tenang gila.

3. Belajar Hargai Hari Minggu Tanpa Sebarang Plan (Unplanned Day)

Selama enam hari seminggu hidup kita dah diatur dengan jadual yang sangat ketat. Pukul berapa kena bangun, pukul berapa ada mesyuarat, pukul berapa kena ambil anak sekolah. Jadi, kenapa hari Ahad pun kita nak kena paksa diri ada jadual yang padat juga?

Cuba peruntukkan sekurang-kurangnya satu hari dalam sebulan sebagai "Hari Tanpa Plan". Pada hari tu, korang bangun tidur tanpa perlu set penggera jam. Kalau korang rasa nak duduk lepak minum kopi kat dapur selama sejam sambil tengok luar rumah, buat jek. Kalau rasa nak masak masakan yang renyah sikit sbb suka proses memotong sayur tu, silakan. Biarkan hari tu mengalir mengikut apa jek yang badan korang rasa nak buat waktu tu.

4. Tukar Soalan 'Apa Lagi Yang Belum Ada' Kepada 'Apa Yang Dah Cukup'

Punca utama kita penat kejar KPI hidup ni adalah sebab kita selalu fokus pada benda yang kita belum miliki. Kita asyik pandang atas sampai kita lupa nak tengok apa yang dah ada dalam genggaman kita hari ni.

Mulai malam ni sebelum tidur, cuba buat satu tabiat baru. Fikirkan atau tulis tiga benda kecil yang korang rasa syukur sangat dah jadi hari ni. Contohnya, syukur sebab jalan tak jem masa balik kerja tadi, syukur dapat makan malam lauk kegemaran dengan keluarga, atau syukur sebab air mandi kat rumah malam ni rasa segar sangat. Bila kita mula fokus pada benda-benda kecil yang cukup ni, rasa nak bersaing dengan dunia luar tu akan luruh dengan sendirinya.

Hujung harinya, korang kena sedar satu hakikat yang sangat penting: korang takkan pernah boleh penuhi semua KPI hidup yang masyarakat dah tetapkan. Sampai bila-bila pun orang akan sentiasa cari apa lagi kekurangan dalam hidup korang.

Jadi, daripada korang habiskan baki umur korang dengan berlari mengejar sesuatu yang tak ada hujung pangkal, apa kata korang mula berjalan perlahan-lahan. Nikmati setiap langkah, hargai setiap kedutan senyuman pada muka pasangan, dan dengar gelak tawa anak-anak dengan penuh perhatian.

Seni slow living ni bukan sbb kita dah menyerah kalah dengan takdir, tapi sbb kita dah menang dalam menentukan cara kita sendiri untuk bahagia. Korang layak untuk hidup tenang tanpa perlu rasa terburu-buru.

Korang ada tak rasa penat macam ni juga akhir-akhir ni? KPI hidup yang mana satu yang paling buat korang rasa sesak dada selama ni? Jom share cerita korang kat bawah, mana tahu dengan meluahkan kat ruangan komen ni boleh buat korang rasa ringan sikit dada tu.

Post a Comment

0 Comments